Pedagogi Kepelbagaian Budaya
Pedagogi Kepelbagaian Budaya adalah satu komponen penting dalam membangunkan sistem pendidikan yang inklusif dan relevan dengan konteks sosial Malaysia yang berbilang kaum, agama, dan budaya. Buku ini memberikan pemahaman mendalam kepada pendidik tentang prinsip pendekatan dan strategi pengajaran yang bersesuaian dengan keperluan pelajar daripada latar belakang budaya yang pelbagai.
Kandungan buku ini merangkumi teori asas seperti Teori Sistem Ekologi Bronfenbrenner dan Teori Perkembangan Sosiobudaya Vygotsky, yang memberikan asas kukuh untuk memahami interaksi antara budaya dan pendidikan. Selain itu, Model Pendidikan 5 Dimensi Kepelbagaian Budaya oleh James Banks dan Model Kompetensi Antara Budaya Deardoff turut dibincangkan bagi memupuk kompetensi pendidik dalam menguruskan kepelbagaian budaya secara profesional.
Dengan perkembangan teknologi digital, buku ini juga menekankan penggunaan media digital untuk menyokong pengajaran yang kreatif dan interaktif. Pendekatan pengajaran seperti inkuiri, konstruktivisme, dan interaksionalis ditekankan bagi membantu pendidik merancang aktiviti pembelajaran yang relevan, bermakna, dan melibatkan pelajar secara aktif.
Selain itu, isu-isu semasa seperti pendidikan untuk etnik minoriti, jurang pencapaian, kepelbagaian kecerdasan, dan pendidikan berkeperluan khas turut dibincangkan bagi meningkatkan kesedaran dan kepekaan pendidik terhadap cabaran dalam sistem pendidikan. Implikasi pedagogi terhadap sekolah jenis kebangsaan, sekolah aliran perdana, dan sekolah kurang murid turut dianalisis untuk memastikan kesesuaian pendekatan pengajaran.
Melalui buku ini, diharapkan pendidik dapat membentuk ekosistem pendidikan yang inklusif, adil, dan responsif terhadap keperluan pelajar yang pelbagai, serta menjadi landasan untuk menghasilkan pendidik yang berkompetensi tinggi, bertanggungjawab, dan inovatif dalam mendepani cabaran pendidikan masa depan.