Infografik Pengantar Akidah Islamiah
Akidah, tauhid dan juga iman merupakan istilah-istilah yang sama, iaitu merujuk kepada satu bentuk pegangan, keyakinan dan keimanan yang jazam kepada Allah SWT dan teras-teras keimanan yang wajib dipercayai oleh setiap individu Islam tanpa sebarang keraguan dan syak. Akidah atau tauhid mempunyai pengertian yang sama, iaitu ilmu yang mengkaji dan menyelidiki kepercayaan seseorang berkaitan dengan ketuhanan, kerasulan dan samiyyat (perkara ghaib) dengan dalil-dalil yang yakin melalui naqliah (wahyu) dan akliah (akal) yang boleh menghilangkan semua keraguan yang ada dalam hati seseorang Muslim.
Dalam bab akidah, pembaca akan dipandu untuk memahami dan mendalami maksud akidah yang sebenar serta mengenal dan memahami asas keyakinan iman dalam Islam, iaitu mengenal Allah, malaikat, kitab, rasul, serta hari kiamat, yang dapat membentuk keyakinan seorang Muslim. Bab ini juga mendorong pembaca menghayati 20 sifat Allah yang wajib diimani oleh setiap Muslim yang sejati.
Oleh itu, pengukuhan akidah Islam mestilah melalui proses mengenal Allah (makrifatullah) untuk mengukuhkan keimanan melalui dalil-dalil yang meyakinkan daripada al-Quran dan sunah mahupun dengan penggunaan dalil-dalil akal dan pancaindera agar tiada lagi keraguan dan pertikaian terhadapnya. Dengan keyakinan yang teguh (jazam) inilah akan membina sifat ketundukan (ubudiyah) dan perhambaan oleh makhluk Allah kepada al-Khaliq (Allah).