Pengajaran Seni Bahasa dan Tatabahasa dalam Bahasa Melayu
Buku Pengajaran Seni Bahasa dan Tatabahasa dalam Bahasa Melayu merupakan hasil tulisan pensyarah-pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia yang telah mengajar kursus ini.
Terdapat tujuh tajuk berkaitan pengajaran dan pembelajaran Seni Bahasa dan Tatabahasa dalam Bahasa Melayu seperti yang terdapat dalam Maklumat Kursus iaitu:
elemen dalam seni bahasa Bahasa Melayu sekolah rendah,
elemen dalam tatabahasa Bahasa Melayu sekolah rendah,
pengajaran seni bahasa,
pengajaran tatabahasa,
penghasilan pelbagai bahan bantu belajar seni bahasa dan tatabahasa,
serta pengajaran mikro dan makro seni bahasa dan tatabahasa.
Justeru, pendidik akan dapat menguasai pedagogi pengajaran seni bahasa dan aspek tatabahasa yang sesuai dan relevan dengan masa ini. Kandungan yang dimuatkan adalah berdasarkan pengetahuan dan pengalaman para pensyarah yang mengajar kursus ini.
Kekuatan buku ini adalah pembaca dapat memperoleh pengetahuan tentang pengajaran dan pembelajaran Seni Bahasa dan Tatabahasa dalam Bahasa Melayu dengan terperinci. Selain itu, buku ini sangat sesuai dijadikan bahan rujukan kerana kandungannya yang lengkap, padat dan mempunyai ilustrasi menarik.
Penulis berharap agar buku ini dapat memberi inspirasi kepada pembaca untuk mengenal pasti pengajaran aspek seni bahasa dan tatabahasa dalam Bahasa Melayu sebagai proses yang bukan sahaja berfokus kepada penyampaian ilmu pengetahuan, tetapi juga sebagai agen transformasi aktiviti PdP mengikut trend terkini.
Dengan menguasai aspek seni bahasa dan tatabahasa, pembaca khususnya para pendidik dapat mengaplikasikannya dalam PdP dengan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih inklusif, adil, dan relevan serta menyeronokkan sesuai dengan keperluan pendidikan masa ini.
Semoga buku ini memberikan sumbangan bermakna dalam memperkaya pemahaman tentang Pengajaran Seni Bahasa dan Tatabahasa dalam Bahasa Melayu dan memberi manfaat kepada para pendidik yang berusaha untuk memperkukuh dan memantapkan sistem pendidikan negara.