Johor-Riau dan Persuratan Melayu
Buku Johor Riau dan Persuratan Melayu: Sastera, Sejarah, Pengarang dan Pusat Persuratan ini merupakan cerminan daripada pelbagai bentuk karya sastera sama ada dalam tradisi lisan mahupun sastera bertulis dan termasuk sastera moden yang memperkatakan tentang sejarah negeri Johor yang disatukan di bawah tema khusus, Johor Riau.
Buku ini merupakan koleksi enam buah artikel yang pernah dibentangkan di beberapa buah seminar di peringkat antarabangsa dan tempatan yang telah diolah semula dalam bentuk yang lebih kemas dan mudah bagi tatapan para khalayak sastera, sejarah dan budaya menikmati isinya. Data pembicaraannya terdiri daripada bahan sastera persuratan khususnya genre sastera sejarah sama ada yang telah diterbitkan mahupun dalam bentuk manuskrip asal. Selain itu, terdapat data lisan khususnya dalam bentuk pantun masyarakat Orang Asli daripada suku kaum Jakun/Orang Huilu di Lembangan Endau-Rompin di Kampung Peta, Kahang, Johor dan Kampung Peta di Rompin, Pahang.
Keseluruhannya, buku ini memperkatakan kehebatan Johor Riau sebagai pusat pemerintahan dan persuratan Kerajaan Melayu serta nostalgia kegemilangan silam yang terakam dalam karya kontemporari. Menerusi perbincangan ini, kedudukan Johor Bahru sebagai benteng terakhir warisan persuratan Melayu tradisi dan peranan Mohd. Said Sulaiman sebagai tokoh persuratannya, berbanding Pulau Penyengat dan Raja Ali Haji seperti yang diyakini umum, akan terserlah.
Kemunculan Johor seperti yang dikenali kini berakar daripada kejatuhan Palembang dan Melaka sebelum ini, yang mempunyai kaitan rapat dengan sejarahnya. Perjalanan Johor kepada statusnya kini dilalui melalui pengalaman yang penuh berliku. Turut disertakan sebuah artikel tentang pengalaman peribadi melakukan pelayaran ke Pulau Bintan, Pulau Penyengat dan Pulau Lingga untuk melihat tapak-tapak bersejarah Kerajaan Melayu Kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang termasuk melihat sendiri Gunung Daik dan Pulau Pandan yang diabadikan dalam pantun budi Melayu yang terkenal itu.