Sejarah Johor Riau: Penziarahan Semula
Sejarah Kesultanan Johor Riau amat unik lagi enigmatik. Johor yang muncul sebagai kerajaan atas keruntuhan Melaka juga dipertanggungjawabkan menjadi pewaris legasinya setelah kalah kepada Portugis, kolonial Barat pertama di Alam Melayu. Lokasi strategik di Sungai Johor yang bercantum dengan laluan utama perdagangan antarabangsa Timur-Barat memberikan Johor kelebihan akses untuk menyaingi para pesaingnya baik tempatan mahupun pesaing Barat.
Menjelang abad ke-17, Johor bertindak sebagai antagonis kuasa besar empat dalam percaturan lanskap geopolitik Alam Melayu yang membawa kepada pelbagai peristiwa dramatik termasuk persaingan, konflik, perseteruan, perang dan penaklukan selain diplomasi, perdamaian dan perkahwinan. Nyata sekali perjalanan sejarah Johor begitu kompleks yang mengakibatkan bukan sahaja orang biasa sukar memahaminya, bahkan juga lulusan bidang sejarah masih mempunyai pengetahuan yang cetek tentang sejarah Johor.
Justeru kandungan buku ini difokuskan kepada pemerintahan tiga keturunan pemerintah Johor dengan didahului keturunan Kerabat Diraja Melaka, keturunan Bendahara dan Temenggung yang kekal hingga ke hari ini. Lebih menarik, Temenggung sering diasosiasikan masyarakat umum kontemporari sebagai Bugis - suatu ilusi yang nyata.
Sesungguhnya, kehadiran buku Sejarah Johor Riau: Penziarahan Semula ini diharap dapat memberikan pencerahan bermakna bagi mereka yang ragu-ragu dan keliru akan sejarah Johor. Bahan-bahan yang merentasi wacana ini adalah hasil daripada beberapa siri penziarahan semula ke lapangan, ke tapak-tapak berlakunya peristiwa-peristiwa tersebut yang dirakam dalam bentuk foto, ilustrasi, rajah, jadual dan peta. Diharapkan khalayak pembaca dapat menghayati dan mengimbau kembali bagi memahami sejarah Johor Riau dengan lebih mudah.