MARI BERPANTUN Tersusun Kata Pantun Tercipta
Buku ini mengandungi tiga elemen penting, iaitu maklumat tentang pantun, teknik penciptaan pantun dan bahan pembelajaran dan pengajaran pantun. Maklumat tentang pantun diperoleh melalui kajian kepustakaan dan melalui pembentangan oleh ilmuan dalam seminar yang dianjurkan di dalam dan luar negara khususnya di Nusantara ini. Teknik penciptaan pantun pula memaparkan susun atur penciptaan bermula daripada pemilihan kata hinggalah terbinanya rangkap pantun. Perkara yang perlu dimasukkan dan perlu dielakkan ada dipaparkan dalam penulisan ini agar pantun terpelihara sebagai khazanah bangsa.
Untuk memenuhi keperluan kurikulum sekolah, pantun-pantun yang disediakan dalam buku ini dapat dijadikan bahan pembelajaran dan pengajaran. Untuk memudahkan guru, sama ada guru sekolah rendah atau sekolah menengah, rancangan pengajaran harian yang mengandungi pantun sebagai bahannya ada disediakan. Pantun yang disediakan dalam buku ini bukan sahaja untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, malah mata pelajaran Agama Islam dan Pendidikan Moral juga. Bagi mereka yang ingin menyertai pertandingan, sama ada pertandingan mencipta pantun atau pertandingan berbalas pantun, buku ini boleh dijadikan panduan.
Moga-moga buku ini dapat membantu semua lapisan masyarakat mengekalkan pantun sebagai warisan bangsa selaras dengan pengiktirafan oleh UNESCO bahawa pantun ialah Warisan Dunia.